GAZA, 25 Disember- Sekurang-kurangnya sembilan orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di bandar Jabalia, utara Gaza, semalam.
Menurut agensi berita Palestin (WAFA), serangan itu menyasarkan kediaman milik keluarga Abu Warda di kawasan Nazla.
"Mangsa yang maut terdiri daripada seorang lelaki, isterinya, lima adik-beradik daripada keluarga Abu Warda, serta dua individu lain," lapor WAFA.
Serangan berterusan Israel ke atas Gaza melalui darat, laut, dan udara sejak 7 Oktober tahun lalu telah mengorbankan lebih 45,000 orang awam, majoritinya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan 107,764 yang lain.
Ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, sementara pasukan penyelamat menghadapi cabaran besar menyelamatkan penduduk terjejas akibat pengeboman tanpa henti oleh Israel.