GAZA, 12 Januari- Kira-kira 70 kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel di Gaza dalam tempoh lima hari lalu, menurut perkhidmatan pertahanan awam pada Ahad.
Agensi berkenaan bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai umur kesemua mangsa berkenaan.
"Kanak-kanak Palestin di Gaza terus menanggung beban berat akibat perang genosid Israel yang kini memasuki bulan ke-16," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF), Catherine Russell memaklumkan bahawa tahun baharu di Gaza membawa lebih banyak kematian dan penderitaan akibat serangan, kekurangan, dan cuaca sejuk.
Sejak 7 Oktober 2023, lebih daripada 46,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terkorban, manakala lebih 109,600 lagi cedera dalam serangan tanpa henti Israel di Gaza.
Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tindakan perangnya di wilayah tersebut.- REUTERS