fb fb fb fb fb

Serangan Israel ragut 6 nyawa di Beirut

Serangan udara Israel di Mar Elias, Beirut semalam /AFP

BEIRUT, 18 November - Dua serangan terbaharu rejim Israel di tengah Beirut, Lubnan mengakibatkan enam orang terkorban, dengan Hizbullah mengesahkan jurucakapnya antara yang maut.

Israel telah mengebom kawasan pinggir selatan Beirut, kubu kuat Hizbullah, sejak konflik tercetus pada 23 September lepas.

Dalam serangan pertama di daerah Ras al-Nabaa, di sini, empat orang maut termasuk Ketua Perhubungan Media Hizbullah Mohammed Afif, kata ketua kumpulan itu.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, serangan kedua membunuh dua mangsa dan mencederakan 22 yang lain di Mar Elias, menjadikan jumlah korban terdahulu meningkat.

Anggota keselamatan Lubnan berkata, serangan menyasarkan kedai elektronik dan sebuah kenderaan.

Hizbullah menyifatkan kematian jurucakap kumpulan itu sebagai "seorang syahid yang hebat menuju ke Baitulmaqdis".

Susulan serangan terbabit, Menteri Pendidikan Lubnan Abbas Halabi berkata sekolah dan institusi pendidikan tinggi di Beirut ditutup selama dua hari.

Tentera rejim Israel telah menyerang lebih 200 sasaran di Lubnan, sejak Sabtu lalu.

Serangan Israel di wilayah Tyre selatan negara membunuh 11 mangsa dan mencederakan 48 orang pada Ahad, kata Kementerian Kesihatan. - AFP

Trainee