fb fb fb fb fb

Serangan Israel bunuh wartawan Reuters

Peralatan milik wartawan Reuters Issam Abdallah yang terbunuh dalam serangan tentera Israel pada 13 Oktober/REUTERS

BEIRUT, 8 Disember- Serangan Israel yang membunuh wartawan Reuters Issam Abdallah dan mencederakan enam yang lain di selatan Lubnan pada 13 Oktober lalu berkemungkinan serangan langsung ke atas orang awam dan perkara itu perlu disiasat sebagai jenayah perang kata Amnesty International berkata pada Khamis.

Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), dalam laporan berasingan berkata, kedua-dua serangan Israel itu adalah "seperti serangan yang disengajakan ke atas orang awam dan itu merupakan jenayah perang." Mereka perlu bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Siasatan Reuters pada Khamis mendapati tentera Israel melepaskan dua das tembakan berturut-turut menggunakan kereta kebal ketika Abdallah dan enam wartawan lain sedang merakam tembakan rentas sempadan itu.

Enam wartawan lain turut cedera ketika kejadian itu.

Jurucakap kerajaan Israel menafikan tentera Israel menyasarkan orang awam.

"Kami tidak menyasarkan orang awam," kata jurucakap Eylon Levy dalam siaran televisyen.

Ketika ditanya mengenai laporan daripada Reuters, Agence France-Presse, Amnesty International dan HRW. "Kami melakukan segala yang mungkin untuk menyelamatkan orang awam daripada bahaya."

Bagaimanapun pejabat Perdana Menteri Israel tidak menjawab soalan daripada Reuters untuk mendapatkan ulasan mengenai laporan oleh HRW dan Amnesty International.

Tujuh wartawan dari AFP, Al Jazeera dan Reuters pada ketika itu sedang menjalankan tugasan dan kesemuanya memakai jaket dan topi keledar biru, kebanyakannya bertulis "PRESS" dalam huruf putih.

Mereka berada di puncak bukit dan kawasan lapang tanpa pokok atau bangunan lain untuk mengaburi wartawan.

Menyasarkan orang awam secara langsung adalah dilarang bawah undang-undang konflik bersenjata, seperti Konvensyen Geneva 1949, yang telah disahkan oleh semua negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Amnesty berkata siasatannya menemui "bukti menunjukkan serangan ke atas sekumpulan wartawan antarabangsa yang menjalankan kerja mereka."

HRW berkata bukti menunjukkan tentera Israel "sepatutnya tahu bahawa kumpulan orang yang mereka tembak adalah orang awam."

Mengulas mengenai penemuan siasatan Reuters, jurucakap Kementerian Luar Jerman berkata; "Perlindungan wartawan mesti dijamin pada setiap masa. Insiden wartawan cedera atau terbunuh mesti disiasat sepenuhnya. Ini juga terpakai dalam kes ini. "

Reuters berkata kepada Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bahawa penemuan peluru kereta kebal itu dilepaskan dari dalam Israel. Ia menimbulkan soalan tambahan, termasuk "adakah tentera Israel tahu mereka menembak wartawan?"

Leftenan Kolonel Richard Hecht, jurucakap antarabangsa IDF, berkata; "Kami tidak menyasarkan wartawan," katanya tanpa memberikan ulasan lanjut.

Lubnan berkata ia merujuk laporan Reuters dan AFP kepada Majlis Keselamatan PBB untuk menambah kepada aduan yang dikemukakannya.

Ia berikutan Israel membunuh orang awam semasa serangan berterusan antara Israel dan kumpulan bersenjata Lubnan Hizbullah.

Pejabat Perdana Menteri Israel tidak menjawab permintaan untuk mengulas kenyataan Lubnan.

Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati, dalam kenyataan kerajaan berkata; "Israel tidak berperikemanusiaan".- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI