TAIPEI, 19 Disember - Serangan di beberapa stesen metro di Taipei pada Jumaat yang melibatkan bom asap dan kejadian tikaman telah mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa, menurut pegawai jabatan bomba, sambil menambah bahawa suspek turut disahkan maut.
Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-tai, berkata serangan di Stesen Utama Taipei dan Stesen Zhongshan merupakan tindakan yang disengajakan, namun motif kejadian masih belum dikenal pasti.
Suspek memakai topeng dan telah membaling lima atau enam bom petrol atau bom asap di Stesen Utama Taipei.
Menurut Jabatan Bomba Bandar Taipei, empat individu disahkan maut, termasuk suspek, manakala lima lagi cedera dalam insiden berkenaan.
Datuk Bandar Taipei, Chiang Wan-an berkata, suspek dipercayai terjun dari sebuah bangunan, dan salah seorang mangsa terbunuh ketika cuba menghalang serangan di Stesen Utama.
“Buat masa ini, kami memahami bahawa suspek telah membunuh diri dengan terjun dari bangunan untuk mengelak ditangkap dan telah disahkan maut,” katanya.
Sebelum ini, Cho berkata tiga mangsa mengalami serangan jantung, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan akibat tikaman dan hentakan di beberapa bahagian badan.
Pihak berkuasa memaklumkan, mereka meningkatkan tahap keselamatan di seluruh Taiwan susulan serangan tersebut.
“Semua lokasi penting termasuk stesen kereta api, lebuh raya, stesen metro dan lapangan terbang kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan tahap kewaspadaan tinggi,” kata Cho.
Satu video yang tular di media sosial memaparkan kepulan asap putih tebal memenuhi kawasan bawah tanah sebuah stesen metro, dengan orang ramai dilihat berada pada jarak selamat.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te, berkata, pihak berkuasa akan segera memperincikan siasatan kes ini. Tiada sebarang kelonggaran akan diberikan dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan keselamatan rakyat.-AFP