GAZA, 16 April- Dua rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera pada malam Selasa selepas serangan udara rejim Israel menyasarkan kawasan Mawasi Al-Qarara, di barat laut Khan Yunis, selatan Gaza.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), mangsa dikenal pasti sebagai Fathi Abdel Qader Abu Shaar, 56 tahun, dan Yahya Fathi Abu Shaar, 33 tahun.
"Kedua-dua mangsa terbunuh apabila tentera Israel membedil khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kawasan tersebut.
"Dalam insiden berasingan, beberapa rumah di timur Gaza terbakar susulan serangan artileri oleh tentera Israel," lapor wartawan WAFA.
Pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 51,000 kematian rakyat Palestin, dengan lebih 116,343 yang lain mengalami kecederaan.
Ribuan lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan, tidak dapat diselamatkan oleh pasukan kecemasan dan pertahanan awam akibat serangan berterusan Israel.
Serangan genosid Israel terus berlangsung tanpa henti meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera, dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengeluarkan arahan supaya langkah pencegahan genosid diambil serta bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada Gaza.