fb fb fb fb fb

Sepanyol,Ireland dan Norway iktiraf Negara Palestin

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares (kanan), Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide dan Menteri Luar ireland (tengah), Micheal Martin (Kiri), berjabat tangan selepas sidang media di Brussels, Belgium/Foto REUTERS

MADRID, 28 Mei - Sepanyol, Ireland dan Norway hari ini secara rasminya mengiktiraf Negara Palestin hari ini di sebalik kemarahan oleh Israel yang semakin disisihkan dunia selepas tujuh bulan konflik di Gaza.

Ketiga-tiga buah negara berkenaan menyertai lebih 140 buah negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara.

Madrid, Dublin dan Oslo turut berkata mereka berusaha untuk mempercepatkan usaha mendapatkan gencatan senjata dalam perang Israel dengan Hamas di Gaza.

"Ini merupakan keputusan bersejarah ke arah satu objektif iaitu Israel dan Palestin mencapai keamanan", kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dalam ucapan di televisyen sebelum mesyuarat kabinet secara rasmi akan meluluskan usul berkenaan.

Sanchez turut berkata Sepanyol akan mengiktiraf Negara Palestin termasuk Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, di bawah Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Ujar Sanchez, Madrid tidak akan mengiktiraf sebarang perubahan kepada sempadan sebelum 1967 melainkan dipersetujui oleh kedua-dua pihak, katanya.

"Ia satu-satunya cara untuk bergerak ke hadapan, ke arah apa yang diakui semua orang sebagai satu-satunya penyelesaian yang mungkin untuk mencapai masa depan yang aman. Negara Palestin yang hidup berdampingan dengan negara Israel dalam keadaan aman dan selamat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Luar Ireland berkata minggu lalu ia akan menaik taraf pejabat perwakilannya di Ramallah, Tebing Barat kepada sebuah kedutaan dan melantik seorang duta serta menaik taraf status misi Palestin di Ireland kepada kedutaan.

Terdahulu, 27 anggota Kesatuan Eropah (EU), Sweden, Cyprus, Hungary, Republik Czech, Poland, Slovakia, Romania dan Bulgaria telah mengiktiraf kewujudan Negara Palestin.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD