fb fb fb fb fb

Seorang maut, puluhan cedera insiden tembakan perarakan Super Bowl

Suspek lelaki yang ditahan dalam insiden tembakan semasa perarakan di Missouri, Amerika Syarikat/AFP

KANSAS CITY, 15 Februari- Seorang individu dilaporkan maut, manakala sekurang-kurangnya 21 yang lain cedera dalam kejadian tembakan semasa perarakan bagi meraikan kemenangan Kejohanan Super Bowl di Missouri, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ketua Polis Kansas City, Stacey Graves berkata, ketika kejadian ribuan penduduk telah berkumpul di Union Station bagi menyaksikan perarakan itu.

Setakat ini tiga individu bersenjata telah ditahan.

Ketua Jabatan Bomba Kansas City, Ross Grundyson berkata, 15 mangsa dalam keadaan sangat kritikal dan enam lagi cedera ringan.

Terdahulu, jurucakap Hospital Children's Mercy memberitahu pihaknya sedang merawat sekurang-kurangnya 12 orang termasuk 11 kanak-kanak dengan sembilan daripadanya cedera akibat luka tembak.

Rakaman video yang dikongsi orang ramai di platform media sosial menunjukkan puluhan anggota polis dikerah di tempat kejadian.

Perarakan berkenaan diadakan bagi meraikan kemenangan Kansas City Chiefs dalam Kejohanan Super Bowl pada Ahad.

Datuk Bandar Kansas City, Quinton Lucas antara individu ternama yang hadir pada acara itu, namun beliau dilapor sempat menyelamatkan diri. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA