fb fb fb fb fb

Selepas pemburuan 24 jam, suspek tembak empat mangsa termasuk isteri berjaya ditahan

FOTO REUTERS

DUSSELDORF, 3 Jun- Polis Jerman pada Ahad mendakwa seorang lelaki berusia 34 tahun dengan cubaan membunuh selepas dia menembak empat orang, termasuk isterinya, di bandar Hagen di barat Jerman.

Suspek telah ditangkap pada awal Ahad berikutan pemburuan polis 24 jam. Dia ditemui di kawasan luar bandar di selatan Hagen selepas mendapat maklumat daripada penduduk tempatan.

Antara yang cedera dalam tembakan pada Sabtu ialah isteri suspek, kata polis di negeri North-Rhine Westphalia. Empat mangsa telah dimasukkan ke hospital, dengan dua, termasuk isteri suspek, dalam keadaan kritikal.

Polis berkata lelaki itu, berkewarganegaraan Turki, menembak kepala isterinya di sebuah bangunan kediaman di Hagen, mungkin disebabkan pertikaian keluarga.

Dia kemudian memandu ke salun rambut berhampiran dan menembak tiga orang lagi sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dengan berjalan kaki.

Polis Dortmund kemudiannya mengambil alih operasi pencarian berskala besar dan menubuhkan pasukan petugas. Sebuah helikopter polis turut digunakan dalam pencarian, yang pada mulanya tertumpu pada pasar raya berhampiran dan kawasan hutan.

Lelaki itu akhirnya ditangkap pada Ahad, sejurus selepas polis dan pejabat pendakwa raya melancarkan pencarian awam dengan menyebarkan nama dan gambar suspek.

Tiada senjata pada mulanya ditemui pada suspek. Bagaimanapun, dia dilaporkan memberitahu polis di mana dia meletakkan senjatanya selepas penahanannya.

Tiada butiran lanjut mengenai identiti tiga lagi mangsa. Keempat-empat mangsa sedang dirawat di hospital berbeza.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE