CYPRUS, 10 Januari- Selepas Delta dan Omicron, wabak Covid-19 terus mengganas berikutan penemuan satu lagi varian baharu dikenali Deltacron.
Ia didakwa ditemui saintis di Cyprus dan sebanyak 25 kes telah dikesan setakat ini berkait dengan varian tersebut
Varian Deltacron merupakan gabungan antara varian Delta dan Omicron.
Profesor Sains Biologi Universiti Cyprus, Leondios Kostrikis memberitahu, saintis di Makmal Bioteknologi dan Virologi Molekul telah mengesan 25 individu yang dijangkiti varian tersebut.
Saintis terbabit turut mendapati, varian tersebut lebih mudah menjangkiti individu yang sedang dirawat di hospital akibat Covid-19.
Kajian lanjut juga sedang dijalankan bagi mengesan sama ada varian baharu itu lebih mudah berjangkit berbanding varian sedia ada.
Saintis turut melaporkan dua simptom berbeza yang ditunjukkan pesakit iaitu konjunktivitis atau 'pink eye' dan keguguran rambut. -AFP