CONNECTICUT, 16 Jun- Cef selebriti Britain, Gordon Ramsay berasa bertuah kerana masih hidup selepas terlibat kemalangan ngeri ketika melakukan aktiviti berbasikal di sini, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsi Ramsay, 57, menerusi Instagram beliau sambil mengingatkan pengikutnya tentang kepentingan memakai topi keledar.
"Minggu ini, malangnya, saya mengalami kemalangan yang sangat teruk dan ia benar-benar mengejutkan saya. Secara jujur, saya bertuah kerana masih berada di sini.
"Saya mempunyai mesej sangat penting untuk semua bapa di luar sana... pakai topi keledar! Tidak kira betapa dekatnya perjalanan itu, (lebih-lebih lagi) bersama anak-anak, pakai topi keledar," katanya.
Dalam perkongsian itu, Ramsay turut menunjukkan kesan luka lebam pada anggota badannya dengan menyifatkan kejadian tersebut sebagai "minggu yang kejam."
"Saya sihat dan tidak patah tulang atau cedera parah tetapi saya mengalami lebam yang kelihatan seperti ubi ungu.
"Saya berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan di Hospital Lawerence + Memorial di New London yang menjaga dan memeriksa saya... tetapi yang paling saya berterima kasih adalah topi keledar saya, yang telah menyelamatkan nyawa saya," katanya.