fb fb fb fb fb

Saudi pertahankan dasar minyak OPEC+

(Kilang pemprosesan minyak Abqaiq Saudi Aramco pada 20 Sept 2019/AFP)

RIYADH, 17 Oktober- Arab Saudi menolak tuduhan Amerika Syarikat bahawa ia menyokong pencerobohan Rusia di Ukraine dengan membuat pemotongan pengeluaran minyak bagi menaikkan harga minyak mentah, sebaliknya menegaskan tindakan itu adalah keputusan perniagaan semata-mata.

"Kami terkejut dengan tuduhan bahawa kerajaan Saudi menyokong Rusia dalam peperangannya dengan Ukraine," twit Menteri Pertahanan Saudi, Putera Khaled bin Salman.

“Walaupun keputusan OPEC+ yang dibuat sebulat suara adalah atas sebab ekonomi semata-mata, ada yang menuduh kami menyokong Rusia.

"Iran juga ahli OPEC, adakah ini bermakna kerajaan Saudi juga menyokong Iran?" tambah Putera Khaled, merujuk kepada saingan serantau Arab Saudi.

Dalam ucapan yang disiarkan pada malam Ahad, Raja Saudi Salman bin Abdulaziz Al Saud menegaskan negaranya "bekerja keras dalam strategi tenaganya untuk menyokong kestabilan dan keseimbangan pasaran minyak global".

Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain, yang seperti Arab Saudi adalah sekutu AS serta rakan kongsi OPEC, turut mempertahankan keputusan kartel itu sebagai langkah "teknikal".

Kartel OPEC+ yang diketuai Arab Saudi termasuk Rusia menimbulkan kemarahan Washington dengan memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari mulai November, tindakan yang menambah tekanan terhadap kenaikan harga minyak mentah.

Jurucakap White House, John Kirby minggu lalu berkata bahawa Riyadh tahu pemotongan itu "akan meningkatkan pendapatan Rusia dan menjejaskan keberkesanan sekatan" terhadap Moscow.

AS berikrar akan menilai semula hubungan dengan Arab Saudi kerana kenaikan harga minyak beberapa minggu sebelum pilihan raya kongres merupakan tamparan diplomatik kepada Presiden Joe Biden. -AFP

(Mohammed bin Salman menyambut ketibaan Joe Biden di Istana Al-Salam Jeddah pada
15 Julai lalu)

Media Baharu