fb fb fb fb fb

Rusuhan penjara di Pichincha akibatkan 44 banduan maut

SANTO DOMINGO DE LOS COLORADOS, 10 Mei - Rusuhan penjara di wilayah Pichincha, Ecuador menyebabkan sekurang-kurangnya 44 banduan maut manakala 13 lagi cedera.

Rusuhan tercetus pukul 2 pagi waktu tempatan di sel kawalan ketat selepas seorang ketua kumpulan jenayah dipindahkan ke sel itu atas perintah mahkamah.

Selain itu, 112 banduan yang cuba melarikan diri dari penjara ketika pergaduhan tercetus telah ditahan semula.

Polis turut menemukan senjata semasa menggeledah sel itu termasuk empat raifel, tiga pistol, revolver, empat bom tangan dan 1,800 kaliber 2.23.

Sistem penjara Ecuador sering diancam krisis aibat pertempuran berterusan antara kumpulan pengedar dadah yang bersaing untuk mengawal penjara.

Pada 2021 rusuhan penjara menyebabkan lebih 300 banduan terkorban.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 20 banduan mati di dalam penjara El Turi di Cuenca, selatan Ecuador.

Presiden Guillermo Lasso menegaskan masalah di dalam kemudahan itu mencerminkan di luar, di mana kumpulan dadah berebut untuk mengawal laluan pengedaran.

Persaingan sesama banduan itu kadangkala meletuskan keganasan, dengan beberapa banduan ditetak hingga mati atau dipenggal dengan parang.

“Majoriti mangsa, jika tidak hampir 100%, dibunuh dengan pisau dan bukan senjata api,” kata Carrillo.

"Mayat mereka ditinggalkan di tempat mereka berada."

Banduan dibunuh di dalam sel dan bilik umum mereka, selepas itu banduan kemudian menggunakan senjata api untuk cuba melarikan diri dari kemudahan itu.

Pihak berkuasa berkata mereka akan menjalankan pencarian senjata dan memindahkan ketua kumpulan ke penjara lain di wilayah Guayas.

“Ini adalah akibat malang keganasan kumpulan,” Lasso, yang sedang dalam lawatan negara ke Israel, menulis di Twitter.

Dia juga menyatakan "takziah kepada saudara-mara" mangsa.

Walaupun dengan pelaburan yang lebih besar dalam sistem penjara, penubuhan suruhanjaya dan dasar baharu seperti menahan banduan paling berbahaya di satu penjara, tidak mengurangkan keganasan berdarah.

Kesesakan adalah satu lagi masalah, dengan 35,000 tahanan di 65 penjara yang hanya mempunyai kapasiti untuk 30,000 banduan.

Penjara Bellavista berkapasiti 1,200 menempatkan 1,700 banduan.

Ecuador juga menyaksikan peningkatan dalam jenayah jalanan dan pengedaran dadah yang cuba ditangani kerajaan dengan mengisytiharkan darurat di tiga wilayah paling teruk terjejas: Guayas, Manabi dan Esmeraldas.

Negara merampas 210 tan dadah pada 2021 dan telah merampas 82 tan lagi tahun ini.

Ecuador, yang bersempadan dengan dua pengeluar kokain terbesar di dunia, Colombia dan Peru, sering digunakan sebagai titik lompat untuk mengeksport serbuk putih ke Amerika Syarikat dan Eropah.- AFP

 


FOTO AFP

Media Baharu