(Lloyd Austin (kiri) dan Jeneral Mark Milley menjawab soalan media, selepas
mesyuarat dalam talian Kumpulan Hubungan Pertahanan Ukraine/REUTERS)
WASHINGTON, 26 Mei - Pasukan tentera Rusia tidak akan mencapai kemenangan di Ukraine, kata Pengerusi Ketua Staf Bersama Angkatan Tentera Amerika Syarikat Jeneral Mark Milley.
Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran bahawa Kiev tidak mungkin dapat memaksa keluar semua tentera Moscow dalam masa terdekat.
Komennya menggariskan ramalan bahawa perang di Ukraine akan berlarutan, dengan kedua-dua pihak tidak berada dalam kedudukan untuk meraih kemenangan yang jelas dan tiada rundingan sedang berlaku.
"Perang ini, secara ketenteraan, tidak akan dimenangi oleh Rusia. Tidak," kata Milley kepada wartawan selepas tamat mesyuarat dalam talian melibatkan berpuluh-puluh negara yang menyokong Ukraine.
"Objektif strategik asal Rusia, termasuk menggulingkan kerajaan di Kiev, tidak boleh dicapai secara ketenteraan, ia tidak mungkin berhasil.
"Namun terdapat ratusan ribu askar Rusia di Ukraine dan ini menjadikan objektif Kiev untuk menawan semula semua wilayahnya tidak mungkin dapat dicapai dalam tempoh terdekat," kata Milley.
"Ini bermakna perang akan berterusan dengan pertempuran berdarah, ia akan menjadi sukar. Dan pada satu ketika, kedua-dua pihak sama ada akan merundingkan penyelesaian atau mereka akan membuat kesimpulan secara ketenteraan." tambahnya. -AFP
(Pengerusi Ketua Staf Bersama Angkatan Tentera AS, Jeneral Mark Milley/REUTERS)