fb fb fb fb fb

Rusia dikecam, halang pemantauan terhadap Korea Utara

Rusia veto keputusan Majlis Keselamatan/AFP

NEW YORK, 8 Mei - Amerika Syarikat (AS) mengecam Rusia yang menghalang proses pemantauan pematuhan sekatan terhadap Korea Utara.

Duta sementara AS di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Dorothy Shea berkata, meski perkara tersebut diveto Rusia, anggota Majlis Keselamatan perlu tahu
pelanggaran sekatan dan aktiviti pengelakan oleh Pyongyang, telah berjaya menjana pendapatan untuk program senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan program peluru berpandu balistik.

Ia ujarnya, jelas telah menyalahi undang-undang.

"Korea Utara terus secara terang-terangan melanggar resolusi dengan mengeksport arang batu dan bijih besi ke China, di mana hasilnya secara langsung membiayai program WMD dan peluru berpandu balistik mereka yang menyalahi undang-undang," katanya.

Tambah Shea, sejak akhir tahun 2023, Korea Utara telah menghantar lebih 24,000 kontena berisi peluru dan bahan berkaitan peluru, serta lebih daripada 100 peluru berpandu balistik kepada Rusia untuk digunakan dalam peperangan terhadap Ukraine.

Pada Mac 2024, Rusia memveto satu resolusi Majlis Keselamatan, sekali gus menamatkan sistem pemantauan sekatan PBB terhadap Korea Utara.

Sekatan-sekatan tersebut telah dilaksana sejak tahun 2006, dan diperketat beberapa kali, namun jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk pemantauan itu kini tidak lagi wujud. - AFP

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN