fb fb fb fb fb

Demonstrasi pro-Palestin di Columbia University, akibat tekanan Trump

Foto Reuters

NEW YORK, 8 Mei- Puluhan penunjuk perasaan pro-Palestin mengadakan demonstrasi besar-besaran di ruang bacaan utama Perpustakaan Butler, Columbia University, pada Rabu.

Demonstrasi itu menjadikan ia antara protes kampus terbesar sejak tercetusnya gelombang bantahan terhadap perang Israel di Gaza tahun lalu.

Antara tuntutan peserta protes ialah pembebasan Mahmoud Khalil, seorang aktivis Palestin dan pelajar pascasiswazah Columbia University, yang kini ditahan di pusat tahanan imigran di Louisiana.

Mahmoud menjadi antara individu pertama yang ditahan dalam siri protes terdahulu.

Penunjuk perasaan dilaporkan berdiri di atas meja, memukul gendang dan mengibarkan sepanduk solidariti bersama rakyat Palestin dalam fasiliti terkemuka dunia itu.

Rakaman udara menunjukkan orang ramai berkumpul di luar perpustakaan, manakala di dalam, demonstrasi berlangsung secara terbuka.

Insiden itu berlaku ketika tekanan ke atas universiti semakin meningkat susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang menyifatkan protes sebelum ini sebagai antisemitik dan mendakwa ia membahayakan pelajar Yahudi.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM