fb fb fb fb fb

Pakistan beri amaran serangan balas, akibat serangan India

Keadaan pasar di Surankote di daerah Poonch/ AFP

PAKISTAN, 8 Mei- Sekurang-kurangnya 43 kematian dilaporkan akibat serangan yang berlaku antara Pakistan dan India.

Di Islamabad, setakat ini, 31 daripadanya merupakan orang awam yang terbunuh susulan serangan dan tembakan India di sepanjang sempadan negara itu.

Manakala New Delhi memaklumkan sekurang-kurangnya 12 individu maut akibat tembakan Pakistan.

Namun Pakistan memberi amaran akan "membalas" serangan dari India sebagai menuntut keadilan rakyatnya yang terbunuh.

"Kami berikrar, bahawa kami akan membalas setiap titisan darah rakyat kami," kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

Tentera India melaporkan, mereka telah memusnahkan sembilan kem di Pakistan pada Rabu.

Jurucakap tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry pula berkata, lima jet India telah ditembak merentasi sempadan.

Sumber keselamatan kanan India, yang enggan namanya didedahkan, berkata tiga daripada jet negara itu terhempas di wilayah asal.

Kedua-dua pihak berbalas-balas tembakan di sepanjang Garis Kawalan yang membahagikan Kashmir.

Penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan, Muhammad Salman memaklumkan kepada pemberita, serangan berkenaan membimbangkan.

"Terdapat bunyi yang mengerikan pada waktu malam. Semua orang panik susulan serangan itu," kata Muhammad Salman, yang tinggal berdekatan dengan sebuah masjid di Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Sementara itu Tariq Mir, 24 tahun mengalami kecederaan di bahagian kakinya akibat serangan tersebut.

"Kami cuba berpindah ke tempat yang lebih selamat... kami tiada tempat tinggal sekarang," kata Tariq Mir.

Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Muhammad Asif menuduh Perdana Menteri India Narendra Modi melancarkan serangan untuk "meningkatkan" popularitinya.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI