LOS ANGELES, 16 Mac- Kediaman mewah milik supermodel dan pelakon dari London, Cara Delevingne yang bernilai jutaan dolar Amerika Syarikat (AS) di sini musnah dalam kebakaran semalam.
Dua individu dan dua ekor kucing berada di kediaman berkenaan ketika kebakaran, namun kesemua mereka sempat melarikan diri tanpa kecederaan serius.
Sementara Delevingne, 31, dilapor berada di lokasi lain di kawasan Studio City.
"Hati saya hancur hari ini. Saya tidak percaya. Kehidupan boleh berubah dalam sekelip mata, jadi hargai apa yang anda ada.
"Terima kasih daripada lubuk hati saya kepada semua anggota bomba dan orang ramai yang hadir untuk membantu," kata Delevingne menerusi Instagramnya.
Dalam platform sama, dia turut berkongsi gambar dua ekor kucing peliharaannya yang terselamat dalam kebakaran terbabit.
Kira-kira 100 anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman api yang mengambil masa sekitar dua jam.
Rumah berkeluasan 8,000 kaki persegi itu dibeli oleh Delevingne pada 2019 dengan harga AS$7 juta. -AFP