fb fb fb fb fb

Ribut Tropika Pilar, El Salvador isytihar darurat

Foto AFP

SAN SALVADOR, 30 Oktober - El Salvador mengisytiharkan darurat pada Ahad menjelang ketibaan Ribut Tropika Pilar yang dijangka mendarat dalam beberapa hari akan datang.

“Keadaan darurat negara diisytiharkan di seluruh wilayah republik itu untuk tempoh 15 hari,” kata satu dekri yang diluluskan parlimen negara itu yang membenarkan pengaktifan perkhidmatan kecemasan dan pembiayaan untuk tindak balas bencana.

Pilar bergerak ke arah El Salvador dengan angin berkelajuan maksimum 40 batu (65 kilometer) sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Ribut itu dijangka "menghasilkan hujan lebat dan banjir kilat di bahagian Amerika Tengah dalam beberapa hari akan datang," kata NHC dalam satu kenyataan awal Isnin.

Guatemala, Honduras dan Nicaragua juga berisiko daripada ribut itu, tambah kenyataan itu.

El Salvador mempunyai populasi 6.6 juta dan hampir 90 peratus wilayahnya terdedah kepada banjir, tanah runtuh dan gegaran berterusan.

Tahun lalu, negara itu dilanda Ribut Tropika Julia yang telah mengorbankan seramai 10 orang dan menyebabkan kerugian ekonomi berjuta-juta dolar.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN