fb fb fb fb fb

Ribuan rakyat Iran berhimpun, kutuk serangan Israel dan AS

Foto REUTERS

TEHRAN, 21 Jun– Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Iran, Tehran, pada Jumaat bagi menunjukkan solidariti terhadap kerajaan Iran, sambil mengecam tindakan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang terus melancarkan serangan udara secara berterusan.

Rakaman daripada China Media Group (CMG) menunjukkan penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-AS dan anti-Israel di sebuah stesen metro, sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kedua-dua negara tersebut.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memaklumkan bahawa lebih 25 pesawat telah menyerang dan memusnahkan sekurang-kurangnya 35 kemudahan penyimpanan dan pelancaran peluru berpandu di kawasan Tabriz di Azerbaijan Timur, barat laut Iran, serta di Kermanshah, barat negara itu pada Jumaat.

"Lebih 50 jet Israel turut melancarkan serangan udara sepanjang malam ke atas beberapa kawasan di Tehran. Serangan itu menyasarkan program senjata nuklear Iran.

"Sasaran lain di Tehran termasuklah tapak industri yang terlibat dalam pengeluaran komponen peluru berpandu," menurut kenyataan tersebut.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, jet Israel turut melakukan serangan terhadap sistem peluru berpandu dan radar Iran di kawasan Isfahan dan Tehran.

Pihak berkuasa Iran mengesahkan bahawa serangan Israel di Wilayah Azerbaijan Timur telah mengorbankan beberapa anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM