DEIR HANNA, 31 Mac- Beribu-ribu rakyat Arab Israel mengadakan perhimpunan untuk membantah perang di Gaza.
Perhimpunan itu diketuai oleh Ahli Parlimen Israel berarak melalui bandar utara Deir Hanna sambil mengibarkan bendera Palestin dan membawa sepanduk bertulis "Hentikan perang ke atas Gaza".
Bantahan berlangsung ketika sambutan Hari Tanah Palestin yang disambut pada 30 Mac.
Ia sebagai memperingati warga Palestin di Israel yang syahid semasa mempertahankan tanah mereka daripada dirampas penjajah zionis.
Kebanyakan penunjuk perasaan adalah warga Arab Israel, yang tinggal di Israel selepas perang 1948, kini membentuk kira-kira 21 peratus daripada penduduknya.
Sebilangan kecil kumpulan yahudi Israel menyertai perhimpunan itu, ada yang membawa papan tanda bertulis "Orang Yahudi dan Arab enggan menjadi musuh".
"Pada hari ini, 48 tahun yang lalu, rakyat kita menggagalkan projek untuk merampas tanah kita dengan bantahan mereka dan mereka mewujudkan satu peristiwa penting dalam sejarah," kata Ketua Majlis Perbandaran Deir Hanna, Saeed Hussein dalam ucapan di dataran utama.
"48 tahun telah berlalu, kematian dan perpindahan berterusan, percubaan untuk memadamkan identiti negara kita dan merampas tanah diteruskan", katanya.
Pemimpin masyarakat dan bekas penggubal undang-undang Mohammed Barakeh berkata orang Arab Israel masih menghadapi pemindahan dan penindasan.
"Daging yang terbakar di Gaza ini adalah milik kita dan wanita yang dibunuh di Gaza adalah saudara perempuan kita," katanya sambil mengecam apa yang disifatkannya sebagai "pembunuhan beramai-ramai" di wilayah Palestin.-AFP