BERLIN, 5 November- Ribuan orang turun ke jalan di Berlin semalam sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza ketika pengeboman berterusan oleh Israel sejak 7 Oktober lalu.
Menurut jurucakap polis kepada AFP, pihaknya menganggarkan 3,500 orang menyertai perarakan tersebut.
Suasana perhimpunan tenang pada permulaannya dan ramai penunjuk perasaan datang bersama keluarga serta anak mereka.
"Selamatkan Gaza", "Hentikan pembunuhan beramai-ramai" dan "Gencatan Senjata" terpampang pada plakad perarakan, lapor wartawan AFP.
Peserta demosntrasi, kebanyakannya memakai keffiyeh, selendang yang dipakai aktivis Palestin, berkumpul di Alexanderplatz yang terkenal di tengah Berlin, sambil melaungkan "Bebaskan Palestin".
Ramai yang memegang bendera Palestin.
Demonstrasi itu dianjurkan oleh beberapa persatuan yang menyokong Palestin.
Penganjur berkata, mereka menjangkakan kehadiran kira-kira 2,000 peserta namun polis menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 10,000 orang dan mengerahkan kira-kira 1,400 pegawai untuk mengawasi perarakan itu, yang dijangka berakhir sekitar 7 malam.
Bandar Frankfurt juga menganjurkan perarakan solidariti dengan rakyat Palestin.
Tentera Israel telah mengepung bandar terbesar di Gaza, cuba untuk menghancurkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serbuan Israel pada 7 Oktober lalu yang menurut pegawai membunuh kira-kira 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, dengan kira-kira 240 yang lain ditawan.
Kementerian kesihatan di Gaza, yang dikendalikan oleh Hamas, berkata lebih 9,200 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan Israel dan kempen darat yang semakin sengit.
Polis Berlin telah menyatakan kebimbangan akan ketegangan menjelang demonstrasi itu berikutan pengharaman aktiviti di Jerman yang dikaitkan dengan Hamas dan persatuan Samidoun, yang anggotanya dituduh meraikan serangan ke atas Israel.
Larangan itu dibuat secara rasmi pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri Nancy Faeser telah dikritik oleh pembangkang konservatif kerana menangguhkan pelaksanaan larangan yang diumumkan dua minggu lalu oleh Canselor Olaf Scholz.- AFP