DHAKA, 1 Mac- Sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam satu insiden kebakaran di sebuah premis makanan di Dhaka semalam.
Menurut Menteri Kesihatan Bangladesh, Samanta Lal Sen, sekurang-kurangnya 40 orang yang cedera sedang dirawat di hospital utama bandar itu.
Sementara pegawai bomba, Mohammad Shihab berkata kebakaran berpunca dari restoran nasi beriani popular di Jalan Bailey.
"Kebakaran pada pukul 9.50 malam itu merebak dengan cepat ke tingkap atas, sehingga memerangkap ramai orang. Seramai 75 orang mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan. Kami mengesyaki kebakaran disebabkan letupan silinder gas di restoran tersebut. Kebakaran berjaya dikawal dalam masa dua jam," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, siasatan lanjut terhadap kebakaran itu sedang dilakukan.
Kebakaran di bangunan pangsapuri dan kilang adalah perkara biasa di Bangladesh disebabkan orang ramai sering mengabaikan faktor keselamatan.
Pada Julai 2021, sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh termasuk kanak-kanak dalam kebakaran di sebuah kilang pemprosesan makanan.
70 orang lagi maut apabila kebakaran berlaku di beberapa blok pangsapuri di Dhaka pada Februari 2019. - AFP