fb fb fb fb fb

Ratusan monyet serbu balai polis Thailand

Foto AFP

LOPBURI, 20 November- Ratusan monyet mencetuskan kekacauan di sebuah balai polis di Thailand tengah.

Kapten Polis Somchai Seedee berkata, kumpulan haiwan itu berpotensi memusnahkan harta benda polis, termasuk dokumen penting.

“Kami terpaksa memastikan semua pintu dan tingkap ditutup untuk menghalang monyet terbabit daripada masuk mencari makanan.

"Anggota polis yang terkepung juga terpaksa mengunci diri dari dalam bangunan bagi mengelakkan serangan,” katanya kepada pemberita di sini.

Rakaman menunjukkan beberapa ekor monyet bertenggek dengan garang di atas bumbung balai polis.

Terdahulu, kira-kira 200 ekor monyet telah dikurung kerana sering mengganggu penduduk tempatan, namun haiwan tersebut berjaya lolos melalui jeriji logam di Pho Kao Ton Monkey Nursery di Lopburi pada 16 November.

Menurut pihak berkuasa pada 17 November, kerosakan pada kandang itu telah diperbaiki.

Sementara itu, Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk menangkap baki monyet yang masih berkeliaran.

Lopburi sememangnya terkenal dengan populasi monyet yang banyak, sebahagiannya disebabkan upacara keagamaan serta tarikan pelancong.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah haiwan berkenaan mencetuskan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan.

Pihak berkuasa Lopburi bersama agensi berkaitan giat melaksanakan langkah penyelesaian melalui program pemindahan. – REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM