BANGKOK, 7 September- Kerajaan baharu Thailand akan meneruskan dasar-dasar yang dilaksana bekas perdana menteri, Srettha Thavisin dengan keutamaan diberikan kepada rangsangan ekonomi.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat khas kabinet awal hari ini bagi menyediakan dasar-dasar yang akan dibentangkan di Parlimen pada minggu hadapan.
"Kerajaan baharu akan meneruskan kebanyakan dasar terdahulu dengan beberapa penyesuaian.
"Ini termasuk menangani isu seperti penstrukturan semula hutang, menyokong perusahaan kecil dan sederhana, serta meningkatkan sektor pertanian dan pelancongan," katanya.
Terdahulu, Dewan Perwakilan Thailand memilih Paetongtarn sebagai Perdana Menteri bulan lalu selepas pemecatan Srettha oleh mahkamah negara tersebut.
Srettha dipecat sebagai Perdana Menteri Thailand selepas didapati bersalah melanggar etika kerana melantik seseorang individu yang pernah disabit bersalah sebagai menteri.- REUTERS
BERITA BERKAITAN: