JORDAN, 29 Mac- Beribu-ribu rakyat Jordan berhimpun berhampiran kedutaan Israel pada Khamis dalam protes besar-besaran hari kelima dan membantah perjanjian damai antara kedua-dua negara itu.
Penunjuk perasaan di kawasan kejiranan mewah Amman membawa bendera Palestin dan melaungkan, "Mereka kata Hamas pengganas. Seluruh Jordan adalah Hamas."
"Tiada kedutaan Zionis di tanah Jordan," para penunjuk perasaan juga menuntut pihak berkuasa menutup kedutaan dan menamatkan perjanjian damai 1994 dengan Israel.
Ramai penunjuk perasaan berada di kedutaan Israel sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas Palestin.
Bagaimanapun kawalan ketat dilakukan bertujuan mengekang bilangan penunjuk perasaan namun ia dilakukan dengan aman.
Tidak seperti awal minggu lalu, apabila polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata dan memukul penunjuk perasaan dengan belantan untuk menghalang mereka daripada menyerbu kedutaan.
Bagaimanapun beratus-ratus penunjuk perasaan mengingkari arahan polis untuk bersurai dan duduk di jalan raya dengan mengatakan mereka akan kekal sehingga awal pagi Jumaat.
Pihak berkuasa di Jordan telah meningkatkan penangkapan terhadap penunjuk perasaan dalam kempen selama berbulan-bulan yang telah diselar oleh kumpulan hak antarabangsa Amnesty International dan Human Rights Watch kerana menyekat kebebasan bersuara.
Protes itu dilakukan berikutan serangan tanpa henti Israel terhadap Gaza yang telah membunuh berpuluh-puluh ribu orang awam.
Menurut pihak berkuasa di Jordan, protes secara aman dibenarkan tetapi mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk mengeksploitasi kemarahan terhadap Israel untuk menimbulkan kekacauan di negara itu.- REUTERS