REYKJAVIK, 30 November-Rakyat Iceland hari ini turun mengundi dalam pilihan raya parlimen tergempar, susulan kejatuhan gabungan kerajaan sebelum ini.
Ekonomi, perumahan, dan penjagaan kesihatan menjadi isu utama dalam kalangan pengundi dalam pilihan raya kali ini.
Seramai 268,000 pengundi layak mengundi, dengan pusat pengundian dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 10.00 malam waktu tempatan.
Namun, cuaca buruk yang melibatkan salji lebat dan angin kencang di pantai timur dan utara Iceland dijangka menyukarkan sesetengah pengundi untuk keluar mengundi.
"Saya rasa kita perlukan perubahan," kata Grimar Jonsson, 48, seorang penerbit filem di Reykjavik.
Beliau berharap pilihan raya kali ini membawa kepada pembentukan kerajaan baru yang lebih progresif.
Perdana Menteri Bjarni Benediktsson yang mengetuai Parti Kemerdekaan, mengundi awal pagi di pusat sukan Myrin di sini.
Gabungan tiga parti yang dipimpinnya Parti Kemerdekaan, Gerakan Kiri-Hijau, dan Parti Progresif telah berpecah pada Oktober lalu akibat perbezaan pandangan, termasuk isu migrasi.
Meskipun, isu migrasi menjadi perdebatan hangat di kalangan ahli politik, tinjauan mendapati ia bukan keutamaan pengundi.
Sebaliknya, isu ekonomi, perumahan, dan penjagaan kesihatan mendapat perhatian lebih 60% rakyat, menurut tinjauan Gallup.
"Perumahan adalah keutamaan saya. Tetapi saya juga ingin keseimbangan antara hak asasi manusia, kewangan, dan migrasi," kata Lena Brynjardottir, 18, seorang pengundi kali pertama.
Parti-parti tradisional seperti Parti Kemerdekaan kehilangan sokongan, dengan hanya 49% penyokong.
Manakala, Gerakan Kiri-Hijau pula berisiko gagal mendapat kerusi parlimen kerana sokongan yang merosot.
Parti Demokratik Sosial, yang dipimpin oleh Kristrun Frostadottir, kini mendahului dengan sokongan 20.4%.
Parti Pembaharuan Liberal berada di tempat kedua dengan 19.2%, manakala Parti Kemerdekaan di tangga ketiga dengan 14.5%.
Selain pergolakan politik, Iceland turut berdepan tujuh letusan gunung berapi sepanjang tahun ini, termasuk di Semenanjung Reykjanes yang memaksa pemindahan penduduk dan menjejaskan destinasi pelancongan terkenal seperti Blue Lagoon.
Penganalisis politik, Olafur Hardarson berkata keputusan pilihan raya sukar diramal kerana permainan politik gabungan di Iceland sangat terbuka.
Pilihan raya kali ini bakal menentukan sama ada Iceland dapat kembali stabil selepas bergolak selama lebih sedekad sejak krisis kewangan 2008.-AFP