fb fb fb fb fb

Raja Salman jalani rawatan akibat jangkitan paru-paru

Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud/Reuters

RIYADH, 7 Oktober- Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dilapor mengalami jangkitan paru-paru dan dijadualkan menjalani ujian perubatan pada malam Ahad, menurut kenyataan Istana Diraja.

"Raja Salman akan menjalani beberapa ujian perubatan malam ini (semalam) berdasarkan saranan klinik diraja disebabkan jangkitan paru-paru," menurut kenyataan disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA).

Raja berusia 88 tahun itu telah memerintah sejak 2015 namun urusan harian kerajaan diuruskan oleh anaknya Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 39, yang dilantik pada 2017.

Sebagai pengeksport minyak mentah terbesar dunia, Arab Saudi sering berusaha meredakan spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman.

Keadaan kesihatan baginda jarang didedahkan tetapi pada Mei lalu, Istana Diraja memaklumkan Raja Salman menjalani rawatan antibiotik selepas dimasukkan ke hospital untuk ujian.

Beberapa hari kemudian, baginda diumumkan telah pulih.

Pada Mei 2022, Raja Salman menjalani kolonoskopi dan berada di hospital selama lebih seminggu untuk ujian lanjut serta berehat.

Baginda juga dimasukkan ke hospital pada Mac 2022 bagi menjalani "ujian perubatan yang berjaya" dan menukar bateri alat pacu jantungnya. Sebelum itu, pada 2020, Raja Salman telah menjalani pembedahan membuang pundi hempedu.

Pada 2017, Riyadh menafikan laporan yang mendakwa Raja Salman merancang untuk melepaskan takhta kepada Putera Mohammed.

Pemerintahan baginda menyaksikan pelaksanaan pelbagai reformasi sosial dan ekonomi yang digerakkan oleh Putera Mohammed, yang kini berusaha memposisikan Arab Saudi bagi masa depan pasca minyak serta mengukuhkan kuasa melalui tindakan tegas terhadap penentang.

SITI AISHAH MD ISA