fb fb fb fb fb

Puteri Mikasa meninggal dunia pada usia 101 tahun

Puteri Mikasa (kiri) bersama suaminya, Putera Mikasa/AFP

Tokyo, 15 November- Puteri Mikasa, anggota tertua keluarga diraja Jepun dan saudara perempuan kepada Maharaja Naruhito meninggal dunia pada usia 101 tahun di sebuah hospital di sini hari ini.

Beliau dimasukkan ke hospital sejak Mac lalu selepas mengalami strok dan radang paru-paru serta menjalani rawatan pemulihan selepas dirawat di unit rawatan rapi.

Dilahirkan sebagai Yuriko Takagi pada 4 Jun 1923 dalam keluarga bangsawan, Puteri Mikasa berkahwin pada usia 18 tahun dengan adik kepada Maharaja Hirohito yang memerintah Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Pasangan diraja itu dikurniakan lima orang anak iaitu dua perempuan dan tiga lelaki. Beliau melahirkan anak pertama, seorang puteri pada tahun 1944 semasa perang.

Rumah mereka musnah dalam serangan udara, memaksa beliau berlindung di tempat perlindungan bersama bayinya, menurut laporan Asahi Shimbun.

Maharaja Hirohito yang mengetuai angkatan tentera Jepun semasa kempen di Asia pada 1930-an dan 40-an menyerah kalah selepas Amerika Syarikat menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945.

Suami Puteri Mikasa, Putera Mikasa yang meninggal dunia pada 2016 pada usia 100 tahun menyokong keputusan untuk menamatkan perang.

Setelah kehilangan rumah mereka, tahun-tahun berikutnya penuh kesulitan bagi Puteri Mikasa yang mengambil alih tugas domestik sementara keluarga itu bergelut secara kewangan.

"Semasa membesarkan anak-anak, masyarakat Jepun masih melalui masa yang sukar.

"Saya mengenang dengan penuh rasa terima kasih bagaimana ramai orang termasuk suami sentiasa menyokong saya," katanya pada ulang tahun ke-100.

Kesemua tiga anak lelaki Puteri Mikasa meninggal dunia lebih dahulu termasuk seorang yang meninggal pada usia 47 tahun semasa bermain skuasy di Kedutaan Kanada.

Puteri Mikasa meninggalkan tiga cucu perempuan yang masih memegang gelaran puteri termasuk Puteri Akiko. -AFP

SITI AISHAH MD ISA