fb fb fb fb fb

Protes besar-besaran bantah pelan belanjawan 2026 Bulgaria

REUTERS

SOFIA, 2 Disember - Ribuan penduduk turun berhimpun di ibu negara Bulgaria, Sofia, serta beberapa bandar lain pada Isnin bagi membantah pelan Belanjawan 2026, belanjawan pertama yang digubal menggunakan mata wang euro sebelum negara itu menyertai zon euro pada 1 Januari.

Sebahagian penunjuk perasaan bertembung dengan polis yang mengepung kawasan sekitar pejabat parti pemerintah di Sofia. Mereka dilaporkan membaling batu, botol dan mercun ke arah anggota keselamatan.

Pada 28 November lalu, susulan protes seumpamanya, kerajaan minoriti pimpinan Rosen Zhelyazkov berjanji akan mengemukakan semula draf belanjawan tersebut ke parlimen bagi membolehkan rundingan lebih luas dilakukan bersama parti pembangkang, kesatuan pekerja dan pihak majikan.

Jawatankuasa parlimen sebelum itu telah meluluskan bacaan pertama pelan belanjawan berkenaan pada 18 November.

Parti pembangkang dan beberapa pertubuhan mendakwa mereka membantah rancangan kerajaan menaikkan kadar caruman keselamatan sosial serta cukai dividen bagi menampung perbelanjaan lebih tinggi, selain isu rasuah dalam pentadbiran negara.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE