fb fb fb fb fb

Presiden Korea Selatan dibebaskan dari tahanan

Presiden Korea Selatan yang didakwa, Yoon Suk Yeol, meninggalkan Pusat Tahanan Seoul pada 8 Mac/Foto AFP

SEOUL, 9 Mac - Presiden Korea Selatan yang didakwa, Yoon Suk Yeol, dibebaskan dari tahanan pada Sabtu, sehari selepas keputusan mahkamah membenarkannya dibicarakan tanpa penahanan fizikal berhubung percubaannya untuk mengisytiharkan pemerintahan tentera pada Disember lepas, lapor Agensi Berita Yonhap.

Sambil melambai kepada penyokongnya, Yoon melangkah keluar dari Pusat Tahanan Seoul selepas 52 hari ditahan atas tuduhan menghasut pemberontakan. Namun, prosiding pendakwaan dan perbicaraan jenayah terhadapnya masih diteruskan.

Pembebasan Yoon dibuat tidak lama selepas Peguam Negara Shim Woo-jung memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah yang membenarkan presiden yang digantung tugas itu dibebaskan.

Yoon tiba di kediaman rasminya di pusat bandar Seoul pada Sabtu malam dan tunduk hormat kepada para penyokongnya.

"Saya menghargai keberanian dan ketegasan mahkamah dalam membetulkan ketidakadilan ini," kata Yoon dalam satu kenyataan.

Dengan pembebasannya, Yoon akan dapat menghadiri perbicaraan tanpa perlu ditahan.

Pada Jumaat, mahkamah meluluskan permohonan Yoon selepas mendapati bahawa pertuduhan terhadapnya pada 26 Jan atas dakwaan menghasut pemberontakan, yang membolehkan tempoh tahanannya dilanjutkan, dibuat beberapa jam selepas tempoh tahanan asalnya telah tamat.

Tempoh tahanan awal selama 10 hari tidak termasuk masa yang diambil untuk menghantar dokumen ke mahkamah bagi semakan waran tangkap, yang menyebabkan tarikh akhir tahanan Yoon dianjak ke sekitar 9 pagi pada 26 Jan, manakala pihak pendakwa hanya mengemukakan pertuduhan terhadapnya sebelum 7 malam pada hari yang sama, menurut mahkamah.

Pasukan peguam Yoon menuduh pihak pendakwaan sengaja melengahkan pembebasannya, yang hanya dilakukan 27 jam selepas keputusan mahkamah.

"Pembebasan presiden ini bukan sekadar membetulkan ketidakadilan terhadap individu, tetapi permulaan perjalanan sukar untuk memulihkan kembali kedaulatan undang-undang yang telah runtuh di negara ini," kata pasukan peguam dalam satu kenyataan.

Parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat, menyambut baik keputusan mahkamah dan menggesa Mahkamah Perlembagaan mempertimbangkan keputusan tersebut dalam perbicaraan pemecatan ke atas Yoon.

"Ia adalah keputusan yang adil dan parti berharap ia menjadi peluang untuk membetulkan sistem perundangan yang telah pincang," kata jurucakap parti, Shin Dong-wook, dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, parti pembangkang utama, Parti Demokratik, mengecam keras keputusan pendakwaan yang didakwa memburukkan lagi krisis negara dengan pembebasan Yoon serta menggesa Mahkamah Perlembagaan untuk secara rasmi memecatnya dalam keputusan yang bakal dibuat.

Mahkamah tertinggi dijangka memutuskan sama ada Yoon akan disingkirkan dari jawatannya atau dikembalikan semula dalam keputusan yang akan diumumkan akhir bulan ini selepas sesi pendengaran berakhir pada 25 Feb lepas. - BERNAMA-YONHAP

GRACE AISYAH KEDAYAN