(Penduduk berbaris bagi menghadiri Majlis Angkat Sumpah Presiden Baharu Korea Selatan, Yoon Suk-yeol
di tapak Perhimpunan Kebangsaan di Seoul pada 10 Mei 2022/AFP)
SEOUL, 10 Mei- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol; calon pembangkang konservatif dengan polisi monetari lebih agresif yang memenangi pilihan raya Presiden pada Mac lalu, memulakan tugas hari ini.
Terdahulu, Yoon, 61 tahun diberi taklimat keselamatan mengenai negara kuasa nuklear, Korea Utara di sebuah ‘bunker” atau kubu bawah tanah menjelang majlis rasmi perlantikannya sebagai presiden di tapak Perhimpunan Kebangsaan di Seoul, pagi ini.
Yoon mengambil alih jawatan ketika konflik di Semenanjung Korea semakin tegang selepas Pyongyang menjalankan sekurang-kurangnya 15 ujian senjata termasuk nuklear sejak Januari lalu dengan terbaru melancarkan dua ujian minggu lalu.
Pentadbiran konservatif Yoon, dilihat bersedia untuk memulakan dasar luar lebih agresif untuk ekonomi ke-10 terbesar di dunia itu selepas pendekatan polisi lebih diplomasi oleh Presiden Moon Jae-in sejak lima tahun pentadbirannya.
Bermula tengah malam tadi, Yoon memulakan penggal pentadbiran lima tahun dengan taklimat pertama sebagai ketua komander daripada Ketua Turus Bersama di “bunker” yang dibina di pejabat presiden baharunya.
Yoon menegaskan akan keperluan untuk mengekalkan “kesiap-siagan tentera dengan lebih teguh ketika situasi keselamatan di Semenanjung Korea kritikal,” kata kenyataan Pejabat Presiden.
Beliau yang memenangi pilihan raya selepas mengharungi saingan sengit, berikrar untuk "mentadbir dengan tegas" terhadap ancaman oleh rejim Kim Jong Un, namun pada masa sama membiarkan ruang dialog terbuka.
(Presiden Baharu Kora Selatan, Yoon Suk-yeol tabik hormat selepas
majlis perlantikan rasminya hari ini di Seoul/AFP)
Bawah pentadbiran Moon, Seoul melaksanakan dasar terbuka dengan Pyongyang; menjadi pemudah cara sidang kemuncak antara Kim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika itu.
Namun rundingan pada 2019 itu gagal dan diplomasi telah terhenti sejak itu.
Bagaimanapun populariti Moon kekal secara peribadi, tetapi kekecewaan rakyat terhadap pentadbiran Moon membantu kemenangan Yoon untuk berkuasa.
Hakikatnya bukan mudah untuk Yoon mengemudi perjalanan pentadbiran Korea Selatan kerana berdasarkan tinjauan Gallup baru-baru ini, Yoon hanya mendapat sokongan kira-kira 41% - bagi mana-mana presiden Korea Selatan yang dipilih secara demokratik.
Tindakan Yoon memindahkan pejabat presiden dari Blue House yang sudah berdekad lamanya, memburukkan sentimen orang ramai kerana rakyat menganggap langkah memerlukan kos tinggi itu, sebagai tidak perlu.
Menurut Yoon, Blue House yang terletak di tapak yang pernah digunakan penjajah Jepun, adalah "simbol kuasa empayar", mendakwa pemindahan itu akan memastikan jawatan presiden yang lebih demokratik.
Katanya, tapak itu akan dibuka untuk kunjungan ramai. –AFP