JAKARTA, 12 Mei- Presiden Indonesia yang dipilih, Prabowo Subianto, memilih pendirian lebih tegas menerusi dasar luarnya, dengan mengatakan bahawa diplomasi, rundingan dan 'Cara Asia' telah membantu dalam meredakan ketegangan serantau.
Prabowo, 72, bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan pada Oktober, selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) Februari lalu bersama gandingannya yang juga Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, anak sulung kepada Presiden, Joko Widodo.
Dalam temubual bersama agensi berita Qatar, Al Jazeera hari ini, Prabowo berkata Asia Tenggara pernah mengalami peperangan, penjajahan asing serta campur tangan dalam politik dalamannya.
Bagaimanapun, tambah beliau: "Kami menyelesaikannya tanpa campur tangan asing, kami berbincang, kami bertemu".
Prabowo berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan mengenai maksud beliau di sebalik istilah 'Cara Asia' yang dibawanya sejak beberapa tahun lalu.
Ditanya persaingan antara China dan Amerika Syarikat (AS) bagi memperluaskan pengaruhnya di rantau ini, bekas komander pasukan khas itu berkata, Indonesia sangat terbuka kepada kedua-duanya.
"Kami menghormati kamu (China dan AS) dan berterima kasih atas bantuan selama ini. Kami menjemput AS, Jepun, Korea Selatan, Eropah, biarpun kami berkawan dengan kamu, tidak bermakna kami juga tidak boleh berkawan dengan China, India dan Rusia," katanya.
Ketika menghadiri forum serantau November lalu, Prabowo berkata, Indonesia komited terhadap dasar yang pelbagai dan akan mengekalkan hubungan baik dengan China dan AS.
Pada April, beliau melawat China, Jepun, dan Malaysia dalam siri lawatan asing pertamanya sejak memenangi pilihan raya presiden.
Ketika temu bual itu, beliau menafikan negaranya melalui fasa kemunduran demokrasi, sebaliknya mengatakan Indonesia sudah menyaksikan peralihan kerajaan secara aman sejak bertahun-tahun, meski pun terdapat masalah yang perlu ditangani, seperti isu rasuah yang berleluasa.
Prabowo berkata, keutamannya kini adalah mengawal pergolakan di Papua, wilayah paling timur, di mana pemisah bersenjata sudah bertempur dengan pasukan keselamatan sejak bertahun-tahun.
Pada Mac lalu, tentera ditahan selepas video tular menunjukkan lelaki dipukul oleh sekumpulan orang, yang mana beberapa daripadanya disyaki tentera Indonesia. - REUTERS