fb fb fb fb fb

PM Haiti terselamat daripada maut diserang kumpulan penjenayah

FOTO REUTERS

PORT-AU-PRINCE, 30 Julai- Perdana Menteri Haiti terselamat dalam kejadian tembakan berhampiran sebuah hospital yang dilawatinya pada Isnin.

Sumber kerajaan memaklumkan, Garry Conille selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam tragedi yang didalangi kumpulan penjenayah itu.

Garry Conille, yang mula berkhidmat pada Jun, sedang meninggalkan hospital tersebut yang berada dalam kawasan dikuasai kumpulan penjenayah apabila beberapa lelaki bersenjata mula melepaskan tembakan senjata automatik.

Conille, diiringi oleh polis Haiti dan anggota pasukan keselamatan Kenya yang disokong PBB, dapat melarikan diri dari kawasan itu tanpa cedera.

Rakaman video menunjukkan beberapa anggota polis berlari untuk berlindung ketika tembakan kedengaran.

Bangunan hospital itu berada bawah kawalan kumpulan samseng sejak Februari lalu sehingga awal Julai.

Operasi yang dilancarkan pihak polis berjaya merampasnya kembali.

Kumpulan penjenayah mengawal kira-kira 80 peratus Port-au-Prince, dengan penduduk mengatakan mereka telah menghadapi ancaman pembunuhan, rogol dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

Beratus-ratus pegawai polis dari Kenya telah dikerahkan di ibu negara Haiti, sebahagian daripada usaha antarabangsa untuk membawa kestabilan kepada negara yang dilanda kekacauan politik, sosial dan ekonomi.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE