fb fb fb fb fb

PM Perancis saran pakai pelitup muka apabila kes meningkat

Foto fail

PARIS, 29 Jun - Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne menggesa orang ramai memakai topeng atau pelitup muka di tempat sesak, selepas pegawai kesihatan pada Selasa melaporkan peningkatan mendadak dalam kes COVID-19 sepanjang minggu lalu.

Ujian positif melonjak sehingga 147,248 mengikut angka yang dikeluarkan pada Selasa, 54% lebih tinggi daripada minggu sebelumnya, dengan pakar merujuk kepada gelombang ketujuh virus di Eropah.

Borne menyuarakan perkara itu selepas pertemuan dengan pegawai kanan kesihatan dan ketua pentadbiran wilayah Perancis.


(Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne/ Foto fail)

Walaupun tidak lagi wajib memakai pelitup muka semasa menggunakan pengangkutan awam, Borne berkata dia mengesyorkan menggunakannya di tempat sesak atau ruang tertutup disebabkan peningkatan kes.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk kerap mencuci tangan, selain  memastikan mereka mendapat maklumat terkini tentang vaksinasi mereka.

Jelasnya, sesiapa sahaja yang berumur 60 tahun ke atas, mempunyai hak untuk mendapatkan vaksin penggalak.

Angka baharu itu adalah yang tertinggi di Perancis sejak akhir April.

Sehingga Selasa, seramai 15,496 pesakit COVID-19 dirawat di hospital, berbanding 14,333 seminggu sebelum itu. Daripada jumlah itu, 898 dirawat di unit rawatan rapi, berbanding 841 orang sebelum itu. 

Walaupun vaksin telah meningkatkan daya tahan orang ramai terhadap COVID-19, varian baharu semakin melepasi perlindungan yang diberikan oleh vaksin  atau telah dijangkiti sebelum ini.- AFP

Media Baharu