fb fb fb fb fb

PM baharu Jepun hanya lantik dua wanita dalam kabinet

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi / Foto AFP

TOKYO, 21 Oktober - Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi hanya menamakan dua wanita dalam barisan kabinet yang dianggotai 19 menteri, walaupun berjanji untuk mengambil pendekatan 'Nordik' yang mengutamakan kesamarataan gender dalam pentadbirannya.

Setiausaha kabinet yang baharu, Minoru Kihara memaklumkan, mereka ialah Satsuki Katayama yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan wanita pertama Jepun dan Kimi Onoda yang dilantik sebagai Menteri Keselamatan Ekonomi.

Terdahulu, Takaichi diumumkan sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.

Pada September lalu, beliau menyatakan imbangan jantina dalam kabinet serta jawatankuasa eksekutif partinya 'akan setaraf dengan negara-negara Nordik' yang terkenal dengan tahap penyertaan wanita pada kadar yang tinggi dalam pentadbiran dan politik.

Dalam politik dan sektor pentadbiran di Jepun, wanita jarang mendapat tempat.

Negara Matahari Terbit itu menduduki tempat ke-118 daripada 148 dalam Laporan Jurang Gender 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Tiga tangga teratas dimonopoli tiga negara Nordik iaitu Iceland, Finland dan Norway.

Di Iceland, enam daripada 11 menteri kabinetnya adalah wanita termasuk Perdana Menteri, Kristrun Frostadottir.

Di Finland pula, 11 daripada 19 jemaah menterinya adalah wanita, manakala sembilan daripada 20 menteri di Norway terdiri daripada wanita.

Bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Shigeru Ishiba juga, beliau hanya melantik dua wanita menganggotai kabinet.

Paling tinggi, lima wanita dalam kabinet yang dipimpin Fumio Kishida. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN