fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Presiden: Pembangkang Venezuela gagal kemuka bukti

Foto REUTERS

CARACAS, 11 Ogos-Mahkamah Agung Venezuela pada Sabtu berkata pihaknya tidak menerima sebarang bukti daripada gabungan pembangkang berhubung pertikaian Pilihan Raya semula Presiden negara itu yang diadakan pada 28 Julai lepas.

Mahkamah Agung berkenaan turut memberi amaran bahawa keputusannya dalam menentukan pemenang pada pilihan raya semula berkenaan adalah muktamad.

"Anggota Platform Unitari (pakatan pembangkang) tidak mengemukakan sebarang bahan pilihan raya" kepada mahkamah, Ketua Hakim Negara Caryslia Rodriguez memberitahu wartawan dan diplomat pada Sabtu.

Pihak berkuasa pilihan raya negara berkenaan yang dikatakan setia kepada Presiden Nicolas Maduro seperti didakwa pembangkang telah mengisytiharkan kemenangan kepada Maduro dalam pilihan raya semula yang diadakan.

Manakala, gabungan pembangkang turut mendakwa calon mereka, Edmundo Gonzalez turut menang pada pilihan raya tersebut.

Pihak berkuasa Pilihan Raya Venezuela setakat ini belum mengeluarkan lagi senarai penuh keputusan kiraan undian pilihan raya memandangkan lawan sesawang agensi berkenaan telah mengalami kerosakan sejak 29 Julai lalu.

Sementara itu, pihak pembangkang telah menyiarkan kiraan undian penuh dalam talian, yang menunjukkan Gonzalez mendapat dua kali ganda jumlah undi berbanding Maduro.

Serentak dengan itu, Maduro telah membuat rayuan kepada Mahkamah Agung minggu lalu bagi pengesahan keputusan pilihan raya yang menyebabkan pihak mahkamah terpaksa memanggil semua pihak yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Calon pembangkang, Gonzalez tidak hadir kerana bimbang ditangkap sekiranya hadir.

Terdahulu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro minggu lalu mengemukakan permohonan kepada Dewan Pilihan Raya Mahkamah Agung untuk mengaudit dan mengesahkan keputusan pilihan raya presiden pada 28 Julai lepas.

Keputusan berkenaan dilakukan Maduro selepas mendapat desakan bagi membuktikan ketelusan.

Pada 29 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Venezuela mengisytiharkan Maduro sebagai pemenang pilihan raya presiden buat penggal ketiga berturut-turut sejak 2013.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD