TOKYO, 28 Oktober-Pakatan parti pemerintah Jepun mengalami kekalahan besar selepas kehilangan majoriti dalam pilihan raya yang berlangsung pada Ahad.
Kekalahan itu sekali gus mencetuskan ketidaktentuan terhadap pembentukan kerajaan seterusnya serta masa depan ekonomi negara keempat terbesar di dunia itu.
Parti Liberal Demokratik (LDP) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Shigeru Ishiba, yang telah memerintah Jepun selepas perang ,bersama-sama rakan sekutu, Komeito, hanya berjaya meraih 215 kerusi di Dewan Rendah Parlimen, menurut laporan penyiaran awam NHK.
Jumlah tersebut merosot ketara berbanding 279 kerusi yang mereka pegang sebelum ini dan menjadi prestasi terburuk pakatan tersebut sejak kehilangan kuasa secara pada tahun 2009.
“Pilihan raya kali ini sangat mencabar bagi kami,” kata Ishiba kepada TV Tokyo.
Sementara itu, pemimpin baharu Komeito, Keiichi Ishii, yang dilantik bulan lalu, tewas di daerahnya.
Parti pembangkang utama Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ), memenangi pilihan raya apabila memperoleh 148 kerusi berbanding 98 kerusi sebelumnya.
Kemenangan CDPJ memberi Isyarat jelas oleh pengundi untuk menghukum parti LDP berikutan skandal kewangan dan inflasi yang semakin membebankan rakyat.
Keputusan ini mungkin memaksa parti-parti yang ada menjalinkan kerjasama kuasa yang rumit untuk memerintah.
Keadaan tersebut berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik ketika Jepun berdepan cabaran ekonomi dan situasi keselamatan yang tegang di Asia Timur.
"Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan," kata ketua CDPJ, Yoshihiko Noda, dalam satu sidang akhbar, sambil menyatakan bahawa partinya akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk mencapai perubahan pemerintahan.
Ishiba pula berkata akan menunggu keputusan akhir sebelum mempertimbangkan gabungan kuasa atau kerjasama lain.
Perdana Menteri Shigeru Ishiba, sebelum ini telah mengumumkan pilihan raya tergempar sejurus selepas dipilih mengetuai parti bulan lalu, dengan harapan untuk mendapatkan mandat awam bertujuan mengukuhkan kepimpinannya.
Bekas Perdana Menteri, Fumio Kishida, meletak jawatan setelah sokongan terhadapnya merosot akibat kemarahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup dan skandal sumbangan tidak direkodkan kepada wakil rakyat.
Pilihan raya ini berlangsung sembilan hari sebelum pengundi di Amerika Syarikat (AS) sekutu paling rapat Jepun turut turun mengundi dalam pilihan raya Presiden yang tidak kurang mendebarkan.
Nilai Yen jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan dan saham Jepun turut dijangka menurun, sementara hasil bon jangka panjang dijangka meningkat kerana pelabur bertindak balas terhadap ketidakpastian ini.
"Penilaian pengundi terhadap blok pemerintah lebih keras daripada yang dijangkakan," kata Saisuke Sakai, ahli ekonomi kanan di Mizuho Research and Technologies.
“Ketidakpastian mengenai kesinambungan pentadbiran semakin meningkat, dan pasaran saham mungkin bertindak balas esok dengan jualan besar-besaran, terutama di kalangan pelabur asing.”
LDP telah memegang majoriti sejak kembali berkuasa pada 2012 selepas tempoh singkat dalam pembangkang. Ia juga pernah kehilangan kuasa secara ringkas pada 1993 apabila satu pakatan terdiri daripada tujuh parti pembangkang membentuk kerajaan yang bertahan kurang dari setahun.
Parti-parti kecil seperti Parti Demokratik untuk Rakyat (DPP) atau Parti Inovasi Jepun kini boleh menjadi kunci dalam pembentukan kerajaan. DPP memenangi 28 kerusi manakala Parti Inovasi Jepun memperoleh 38 kerusi, menurut NHK. -REUTERS