fb fb fb fb fb

Pesawat Singapura alami gelora udara, warga emas maut

Foto REUTERS

BANGKOK, 22 Mei- Seorang warga emas maut manakala 30 orang lagi mengalami kecederaan selepas pesawat Singapore Airlines SQ321 menghadapi gelora udara yang teruk ketika penerbangan dari London ke Singapura, semalam.

Menurut pihak berkuasa Thailand, insiden tersebut memaksa pendaratan cemas pesawat dilakukan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Mangsa maut adalah seorang lelaki Britain, berusia 73 tahun.

Sementara menurut Singapore Airlines, Jet Boeing 777-300ER menghadapi gelora udara yang ekstrem dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok.

"Penerbangan tersebut menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow.

"Ia memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

"Ketika kejadian, terdapat 211 penumpang dan 18 anak kapal dalam penerbangan itu.

"Singapore Airlines sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam penyiasatan kejadian ini.

"Saudara-mara penumpang yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian penting Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom)," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut Pengurus Besar Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, penumpang yang cedera, termasuk tujuh kritikal, dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM