fb fb fb fb fb

Pesawat bawa Naib Presiden Malawi hilang

Pesawat membawa Saulos Chilima, 51 dan sembilan lagi hilang ketika dalam perjalanan untuk menghadiri pengebumian seorang bekas menteri kabinet di bandar Mzuzu, Malawi

LILONGWE, 11 Jun- Sebuah pesawat tentera yang membawa Naib Presiden Malawi serta sembilan yang lain dilaporkan hilang dan operasi pencarian sedang dijalankan.

Pesawat yang menerbangkan Saulos Chilima, 51, berlepas dari ibu kota, Lilongwe, semalam, namun gagal membuat pendaratan seperti dijadualkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mzuzu kira-kira 370 kilometer (km) ke utara kira-kira 45 minit kemudian.

Ia meninggalkan Lilongwe pada pukul 9.00 pagi waktu tempatan sebelum pihak berkuasa penerbangan terputus hubungan dengan pesawat itu apabila "hilang dari radar".

Kumpulan itu dalam perjalanan ke bandar Mzuzu untuk menghadiri pengebumian seorang bekas menteri kabinet.

"Semua usaha untuk menghubungi pesawat tersebut sejak ia hilang daripada radar telah gagal setakat ini. Saat ini kami hanya mampu berdoa,” menurut kenyataan dari pejabat Presiden Malawi, Lazarus Chakwera.

Askar dikatakan sedang mencari pesawat terbabit melalui jalan darat di kawasan hutan Chikangawa, selatan Mzuzu, menurut laporan media tempatan.

Dalam pada itu, beberapa laporan tidak rasmi telah tersebar bahawa saksi mata melihat sebuah pesawat terhempas ke dalam hutan pada awal pagi semalam.

Pada 2022, Chilima dilucutkan kuasanya selepas ditangkap dan didakwa atas tuduhan berhubung skandal rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan British-Malawia.

Bulan lalu, mahkamah Malawi membatalkan pertuduhan itu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA