LIMA, 15 Mei- Peru memfailkan saman dan menuntut ganti rugi AS$4.5 bilion (RM19.79 bilion), terhadap syarikat tenaga Sepanyol, Repsol, berhubung insiden tumpahan minyak yang memusnahkan pesisir pantai daerah itu, Januari lalu.
Menurut Agensi perlindungan pengguna Peru, saman berkenaan difailkan di Mahkamah Sivil di Lima terhadap enam syarikat meliputi Repsol (Sepanyol), Mapfre Global Risks (Sepanyol), Mapfre Peru Insurance and Reinsurance Companies (Peru), La Pampilla Refinery (Peru), Transtotal Maritime Agency (Peru) dan Fratelli d'amico Armatori (Itali).
Pengarah Eksekutif Institut Kebangsaan Pertahanan Persaingan dan Perlindungan Harta Intelek (INDECOPI), Julian Palacin dalam satu kenyataan semalam, berkata saman itu berhubung kes tumpahan minyak yang menyebabkan kemusnahan serta kerosakan bukan material yang terkumpul akibat pencemaran alam sekitar di kawasan pesisir pantai.
INDECOPI menuntut AS$3 bilion (RM13.19 bilion) bagi kerosakan alam sekitar pada pesisir pantai Peru, serta AS$1.5 bilion (RM6.6 bilion) sebagai ganti rugi kepada pengguna, penduduk tempatan dan pihak lain yang terkesan akibat bencana itu.
(Seorang penduduk membawa sepanduk menggesa saman dikeluarkan kepada Repsol./AFP)
Repsol dalam satu kenyataan semalam, bagaimanapun menolak saman berkenaan yang disifatkan sebagai tidak berasas.
Insiden tumpahan minyak itu berlaku pada 15 Januari lalu ketika kapal tangki 'Mare Doricum' sedang memunggah minyak mentah di kilang penapisan milik Repsol, La Pampilla di Ventanilla, kira-kira 30 kilometer utara Lima.
Namun, syarikat minyak itu mengaitkan insiden berkenaan dengan badai ombak akibat letupan besar gunung berapi di Pulau Tonga, di seberang Laut Pasifik, manakala Kerajaan Peru menyifatkannya sebagai 'bencana ekologi'.
Tumpahan minyak itu menjejaskan lebih 700,000 penduduk yang kebanyakannya nelayan, dan memaksa penutupan 20 kawasan pantai serta puluhan perniagaan di kawasan terbabit. -AFP