fb fb fb fb fb

Periuk api meletup, seorang pemandu lori maut

Kemboja merupakan sebuah daripada negara yang paling terjejas oleh periuk api dan sisa bahan letupan perang (ERW)/Foto CMAC

PHNOM PENH, 18 Januari - Sebuah periuk api antikereta kebal yang ditinggalkan dari zaman perang telah meletup dan mengorbankan seorang pemandu lori di Daerah Sampov Lun, Wilayah Battambang, menurut ketua pembersihan periuk api pada Sabtu, lapor Xinhua.

Heng Ratana, Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC) berkata letupan itu berlaku pada petang Jumaat ketika lori yang membawa ubi kayu itu terlanggar periuk api antikereta kebal itu di Kampung Kon Phnom Khang Tboung.

Ini merupakan insiden letupan periuk api antikereta kebal kedua dalam minggu ini. Letupan pertama berlaku pada Khamis, mengorbankan dua pakar pemusnah periuk api Kemboja di Wilayah Oddar Meanchey, barat laut negara ini.

Kemboja merupakan sebuah daripada negara yang paling terjejas oleh periuk api dan sisa bahan letupan perang (ERW). Dianggarkan antara empat hingga enam juta periuk api dan bahan letupan lain ditinggalkan akibat perang dan konflik dalaman selama tiga dekad yang berakhir pada 1998.

Menurut Universiti Yale, Amerika Syarikat, antara 1965 dan 1973 Amerika Syarikat telah menjatuhkan kira-kira 230,516 bom di 113,716 lokasi di Kemboja.

Satu laporan rasmi Kemboja menunjukkan bahawa dari 1979 hingga 2024, letupan periuk api dan ERW telah meragut 19,834 nyawa serta menyebabkan 45,252 orang cedera atau kehilangan anggota badan. 

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet berkata dalam satu ucapan umum November lepas bahawa walaupun Kemboja mencapai keamanan sepenuhnya pada 1998 tetapi, ancaman periuk api masih membayangi dan menjadi ancaman serius terhadap nyawa serta pemulihan pascaperang.

Beliau berkata periuk api dan ERW terus menjejaskan kehidupan kira-kira satu juta penduduk di negara Asia Tenggara itu. - BERNAMA-XINHUA

GRACE AISYAH KEDAYAN