BANGKOK, 22 Oktober - Bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, meletakkan jawatan sebagai ketua parti yang diasaskan bapanya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, pada Rabu.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai berakhirnya pengaruh keluarga itu dalam politik Thailand yang telah berlanjutan selama puluhan tahun.
Paetongtarn, 39, hanya berkhidmat kurang daripada setahun sebagai Perdana Menteri sebelum digugurkan mahkamah pada Ogos lalu atas dakwaan pelanggaran etika berhubung pengendalian pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Sejak dua dekad lalu, keluarga Shinawatra dianggap sebagai pencabar utama kepada golongan elit protentera dan prodiraja di Thailand yang melihat politik populis mereka sebagai ancaman kepada susunan sosial tradisional negara.
Namun, dinasti politik itu semakin terjejas dengan pelbagai tindakan undang-undang dan tekanan politik, termasuk pemenjaraan Thaksin, 76, tahun ini atas kesalahan rasuah semasa pemerintahannya.
Parti Pheu Thai dalam satu kenyataan pada Rabu memetik Paetongtarn sebagai berkata, pengundurannya bertujuan membolehkan parti itu melalui proses penstrukturan semula secara menyeluruh.
"Pengunduran saya akan membolehkan parti meningkatkan keupayaan agar akhirnya kita dapat memenangi pilihan raya," menurut Paetongtarn menerusi kenyataan itu.
Paetongtarn turut menegaskan bahawa beliau akan kekal sebagai ahli parti dan meneruskan komitmen untuk membangunkan Thailand.
Thaksin mengasaskan versi awal Pheu Thai pada akhir 1990-an sebelum digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 dan hidup dalam buangan selama lebih sedekad.
Paetongtarn merupakan anggota ketiga keluarga Shinawatra yang memegang jawatan Perdana Menteri selepas bapanya Thaksin dan ibu saudaranya Yingluck Shinawatra, dan beliau juga merupakan satu-satunya ahli keluarga yang masih aktif dalam politik.
Penganalisis berpendapat pengunduran beliau sebagai ketua parti disifatkan sebagai berakhirnya dominasi keluarga tersebut dalam politik Thailand, walaupun ada pandangan bahawa keluarga Shinawatra masih mempunyai pengaruh di belakang tabir.
"Tidak kira siapa yang mengetuai Pheu Thai, parti itu tetap akan dikendalikan oleh keluarga tersebut di belakang tabir," kata pakar politik Universiti Terbuka Sukhothai Thammathirat, Yuttaporn Issarachai.
Pengunduran Paetongtarn lebih bertujuan melindungi parti daripada sebarang cabaran undang-undang susulan keputusan mahkamah terhadapnya.- AFP