fb fb fb fb fb

Pengukuhan Euro bantu EU tangani ancaman tarif Amerika Syarikat

Foto AFP

BERLIN, 27 Mei - Presiden Bank Pusat Eropah menyokong pengukuhan nilai euro bagi membantu Kesatuan Eropah (EU) menghadapi ancaman pertikaian perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Christine Lagarde berkata  susunan dunia yang telah wujud selama beberapa dekad kini “berpecah-belah”, ketika berucap di Sekolah Tadbir Urus Hertie di Berlin.

Beliau turut menyatakan bahawa “peranan dominan dolar AS” kini turut dipersoalkan.

Menurut beliau landskap yang berubah-ubah itu boleh membuka ruang kepada euro untuk memainkan peranan antarabangsa yang lebih besar.

Menurutnya kira-kira 20 peratus daripada rizab pertukaran asing global kini disimpan dalam euro, manakala dolar merangkumi 58 peratus.

Sejak pengumuman pakej tarif global oleh Trump, dolar mengalami tekanan dan euro kini berada pada paras tertinggi berbanding dolar sejak lebih tiga tahun lalu.

Situasi berkenaan boleh mendatangkan kesan positif antaranya memudahkan pinjaman dalam EU, melindungi negara zon euro daripada turun naik kadar pertukaran serta memberi perlindungan lebih baik terhadap sekatan.

“Keadaan ini akan membolehkan Eropah mengawal masa depannya dengan lebih baik,” ujar Lagarde.

Beliau menyarankan Eropah terus komited kepada perdagangan terbuka, mengekalkan asas ekonomi yang kukuh serta kecairan pasaran modal, dan memperkukuh asas perundangan. - AFP 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN