fb fb fb fb fb

Penggodam Korea Utara sasar latihan tentera AS-Korea Selatan

(FOTO HIASAN)

SEOUL, 20 Ogos - Penggodam Korea Utara menyasarkan latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan yang diadakan minggu ini walaupun maklumat sulit tidak terjejas, kata polis Korea Selatan pada Ahad.

Tentera Korea Selatan dan AS akan memulakan latihan musim panas 'Ulchi Freedom Guardian' selama 11 hari bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk bertindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang kini dilihat telah berkembang.

Korea Utara membantah latihan sedemikian dengan mengatakan ia adalah persediaan oleh AS dan sekutu Korea Selatannya untuk pencerobohan ke atasnya.

(FOTO HIASAN)

Penggodam itu dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pengodam Korea Utara yang dipanggil 'Kimsuky' dan mereka melakukan penggodaman mereka melalui e-mel kepada kontraktor Korea Selatan yang bekerja di pusat simulasi perang latihan gabungan Korea Selatan-AS, kata Agensi Polis Wilayah Gyeonggi Nambu dalam kenyataan.

“Telah disahkan bahawa maklumat berkaitan ketenteraan tidak dicuri,” kata polis dalam satu kenyataan pada Ahad.

Korea Utara sebelum ini menafikan sebarang peranan dalam serangan siber.

Penggodam Kimsuky telah lama menggunakan e-mel "pemancingan lembing" yang menipu sasaran untuk melepaskan kata laluan atau mengklik lampiran atau pautan yang memuatkan perisian hasad, menurut penyelidik.

Polis Korea Selatan dan tentera AS menjalankan siasatan bersama dan mendapati alamat IP yang digunakan dalam percubaan penggodaman itu sepadan dengan alamat yang dikenal pasti dalam penggodaman 2014 terhadap pengendali reaktor nuklear Korea Selatan, kata polis.

Pada masa itu, Korea Selatan menuduh Korea Utara berada di belakang serangan siber itu.-REUTERS

Media Baharu