fb fb fb fb fb

Pengeluar ubat Jepun melaporkan dua lagi kematian

Orang ramai menyertai mesyuarat agung tahunan pemegang saham Kobayashi Pharmaceutical di Osaka pada 28 Mac 2024/ AFP

TOKYO, 28 Mac- Syarikat pembuat ubat Jepun yang suplemen atau makanan tambahannya menjadi punca ketakutan kesihatan dalam kalangan masyarakat melaporkan dua lagi kematian yang mungkin berkaitan dengan tabletnya.

Minggu lalu, Kobayashi Pharmaceutical menarik balik jenama makanan tambahan termasuk Beni Koji Choleste dan dua yang lain selepas pelanggan mengadu mengalami masalah buah pinggang.

Produk itu mengandungi bahan yang dipanggil beras yis merah, atau "beni koji", yang sepatutnya membantu menurunkan kolesterol.

Khamis lalu syarikat mengumumkan jumlah angka kematian yang sedang disiasat oleh syarikat dan kementerian kesihatan kepada empat, dan lebih 100 orang lain dimasukkan ke hospital.

"Kami diberitahu semalam oleh keluarga mangsa bahawa mendiang menggunakan Choleste Help telah meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang," kata pembuat ubat itu dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata, pihaknya telah diberitahu secara berasingan bahawa seorang lagi pelanggan yang menggunakan Choleste Help dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meninggal dunia.

"Kami sedang dalam proses mengesahkan fakta dan hubungan punca kematian dalam kedua-dua kes ini," kata kenyataan itu.

"Bagaimanapun, kami memutuskan membuat laporan ini kepada umum untuk pendedahan segera," katanya.

Kajian perubatan mendapati beras yis merah sebagai alternatif kepada statin untuk menurunkan kolesterol tinggi, tetapi pengambilan bahan itu turut mempunyai risiko kerosakan organ bergantung kepada bancuhan kimianya.

Kobayashi Pharmaceutical menjual pelbagai jenis produk kesihatan yang dipasarkan melalui iklan televisyen di Jepun.

Syarikat yang berpangkalan di Osaka itu berkata ia juga telah membekalkan beras yis merah kepada kira-kira 50 firma lain di Jepun dan dua di Taiwan.

Jurucakap kerajaan Yoshimasa Hayashi hari ini berkata, pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan keselamatan makanan, termasuk mengenal pasti bahan yang menyebabkan kemudaratan kesihatan dan bagaimana ia hadir dalam produk itu.

"Kerajaan telah mengarahkan pelbagai pembuat makanan kesihatan mengkaji semula produk mereka, sambil memaklumkan isu itu kepada negara luar melalui kedutaan Jepun," katanya.

Berpuluh-puluh firma Jepun yang menggunakan beni koji yang disediakan oleh Kobayashi Pharmaceutical juga secara berasingan mengumumkan penarikan balik produk mereka.

Produk yang terjejas termasuk tablet kesihatan serta sake berwarna mawar, salad dressing, roti dan pes miso yang digunakan dalam banyak hidangan tradisional.

Kobayashi Pharmaceutical berkata, analisis telah menemui kemungkinan bahawa produk itu mengandungi bahan asing.

Syarikat itu bagaimanapun tidak menemui sebarang citrinin yang dihasilkan oleh beras yis merah, yang beracun dan boleh merosakkan buah pinggang.

Seorang eksekutif Kobayashi berkata minggu lalu bahawa syarikat itu mula menerima aduan mengenai masalah buah pinggang pada Januari.

“Adalah dikesali bahawa Kobayashi Pharmaceutical tidak memberikan maklumat kepada kerajaan semasa ia menjalankan siasatan untuk menentukan puncanya,” kata Menteri Kesihatan Keizo Takemi hari ini. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI