fb fb fb fb fb

Pengawal selia Eropah beri amaran berkaitan pen Ozempic palsu di pasaran

(Foto newsnationnow.com)

PARIS, 23 Oktober – Pihak berkuasa di Eropah memberi amaran berkaitan pen suntikan palsu Ozempic yang tular di media sosial sebagai cara untuk menurunkan berat badan telah mula diagihkan di Eropah.

Ozempic, yang merupakan suntikan sekali seminggu asalnya dicipta bagi merawat diabetes tahap dua.

Bagaimanapun, sejak diketahui ubat tersebut berkesan dalam mengurangkan berat badan, permintaan secara besar-besaran telah mengakibatkan kekurangan stok.

Menurut Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA), alat suntikan pra-penuh yang dipalsukan dengan label Ozempic telah dikenal pasti di beberapa pengedar di EU dan UK.

Pihak berkuasa ubat-ubatan (ANSM) Perancis pada Ahad telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada semua pengedar bekalan ubatan itu untuk berwaspada terhadap produk palsu berkenaan.

EMA berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan masalah kesihatan pesakit susulan pen suntikan palsu tersebut.

“Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa mana-mana alat suntikan palsu telah disalurkan kepada pesakit daripada farmasi yang sah dan tidak ada laporan mengenai kerosakan kepada pesakit berkaitan dengan ubat palsu tersebut,” kata EMA.

Tambah EMA, pihak polis dan pihak berkuasa perubatan Kesatuan Eropah sedang menyiasat isu tersebut.

Pemalsuan tersebut pertama kali disedari kerana nombor siri yang tidak aktif.–AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN