BEIRUT, 17 November – Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan mengesahkan bahawa tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah anggotanya yang sedang melakukan rondaan pada Ahad di selatan negara itu.
UNIFIL dalam kenyataan awal memberitahu, tentera rejim secara biadap “melepaskan tembakan ke arah anggota pengaman daripada sebuah kereta kebal Merkava dari kedudukan yang dibina Israel di dalam wilayah Lubnan”, malah peluru mesingan berat itu jatuh kira-kira lima meter dari anggota mereka.
Bagaimanapun anggota pasukan terbabit berjaya meninggalkan kawasan tersebut dengan selamat, kira-kira 30 minit selepas tentera negara haram itu berundur menjauhi lokasi berkenaan.
Namun rejim Zionis dalam kenyataan balas seperti kelazimannya mengemukakan pelbagai alasan termasuk menyalahkan 'keadaan cuaca buruk', menyebabkan mereka tersilap mengenal pasti anggota pasukan 'helmet biru' itu sebagai suspek dan hanya melepaskan tembakan amaran.
UNIFIL kini bekerjasama dengan tentera Lubnan bagi mengukuhkan gencatan senjata antara Israel dengan kumpulan Hezbollah yang dicapai pada November tahun lalu.
Kenyataan itu menegaskan insiden tersebut “merupakan pelanggaran serius terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB,” yang menamatkan konflik 2006 antara Israel dan Hezbollah serta menjadi asas gencatan senjata terkini.
Gencatan senjata itu bertujuan menamatkan lebih setahun ketegangan antara kedua-dua pihak sejak tercetusnya serangan berterusan Israel di Gaza.
Berdasarkan perjanjian tersebut, Israel perlu menarik balik tenteranya dari selatan Lubnan, namun sebaliknya masih mengekalkan kehadiran di lima kawasan yang dianggap strategik.
Israel juga terus melancarkan serangan berkala terhadap sasaran di Lubnan atas alasan menyasarkan lokasi dan anggota Hezbollah.
"Sekali lagi, kami menggesa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menghentikan sebarang tindakan agresif atau serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman," kata UNIFIL.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Lubnan menuduh Israel 'melanggar kedaulatan Lubnan, menjejaskan kestabilan dan menghalang penempatan penuh tentera di selatan'.
Tentera Lubnan sepatutnya ditempatkan di kawasan itu bersama UNIFIL sebagai sebahagian perjanjian gencatan senjata dan mereka sedang 'bekerjasama dengan negara sahabat untuk menghentikan pelanggaran yang berterusan'. - AFP