fb fb fb fb fb

Kekurangan dana: Anggota pengaman PBB mungkin dikurangkan

Sebahagian anggota UNIFIL dari Malaysia / Foto AFP

NEW YORK, 9 Oktober - Penempatan anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia mungkin dikurangkan kira-kira 25% susulan kekurangan dana, sebahagian besarnya dikaitkan dengan pemotongan bantuan Amerika Syarikat (AS).

Seorang pegawai kanan PBB mendededahkan, kira-kira 13,000 hingga 14,000 anggota polis dan tentera, serta kelengkapan mereka terpaksa dihantar pulang ke negara masing-masing, dengan sebahagian besar kakitangan awam juga bakal terjejas.

AS dijangka menyumbang $1.3 bilion daripada keseluruhan $5.4 bilion belanjawan untuk operasi misi pengaman bagi tempoh 2025-2026.

Namun, kini badan dunia itu dimaklumkan, Washington hanya akan membayar separuh daripada jumlah yang diikrarkan atau $682 juta, termasuk $85 juta bagi misi memerangi antigengster di Haiti, yang sebelum ini tidak termasuk dalam rancangan asal.

China pula dijangka menyumbang $1.2 bilion dengan sumbangan $2 bilion yang masih belum dibayar setakat Julai lepas.

Secara keseluruhan, PBB dijangka mengalami kekurangan belanjawan misi pengaman antara 16% hingga 17%.

Anggota pengaman PBB kini ditempatkan, antaranya di timur Republik Demokratik Congo, selatan Lubnan, Republik Afrika Tengah, Sudah Selatan serta beberapa negara dan wilayah lain. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN