GAZA, 2 November – Penduduk Palestin di kawasan Jabalia kini berdepan kesukaran untuk pulang ke rumah selepas tentera Israel menandakan satu kawasan larangan dikenali sebagai ‘garisan kuning’.
Menurut penduduk, mereka tidak dibenarkan melintasi garisan itu walaupun untuk mengambil pakaian musim sejuk atau barangan penting di rumah masing-masing.
Garisan kuning menandakan kawasan di mana tentera Israel berundur di bawah perjanjian gencatan senjata.
Israel turut memberi amaran bahawa sesiapa yang melanggar sempadan itu akan ditembak serta-merta.
Dalam perkembangan lain, seorang lelaki Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza ketika kedua-dua pihak – Israel dan Hamas – saling menyalahkan atas pelanggaran gencatan senjata.
Setakat ini, tiada kemajuan baharu dalam pelan damai seperti 20 perkara yang diumumkan Presiden Donald Trump.
Ini termasuk langkah pelucutan senjata Hamas dan penarikan keluar tentera Israel dari Gaza. - REUTERS